MENGUBAH ADAT PUASA MENJADI IBADAT PUASA
(Dipetik dari : Risalah HALUAN)
“Ramadhan, bulan rahmat, bulan pengampunan dan penebusan dari api neraka!”. Masih terngiang ngiang tazkirah itu ditelinga kita. Tapi dapatkah kita menjiwai amalan bulan istimewa ini dalam bentuknya yang asal, dalam bentuk ibadah yang sebenar. Berlaku perasaan taqarrub yang mendalam dan wujud perubahan akhlak diri yang semakin positif dan berkesan?
Sewaktu kecil dulu, ibu mengejut untuk bersahur sebelum subuh, ayah sentiasa ajar untuk berniat puasa esok hari selepas bersahur. Ketika waktu berbuka emak sering berpesan untuk berbuka dengan kurma dengan bilangan witir. Ketika itu kita turut semata tanpa faham dan mengerti hakikat apa-apa.
Apabila bermula ramadan jiran dan rakan-rakan di sekeliling sibuk bicara mengenai tawaran jualan dan sambutan hari raya. Radio asyik bergema dengan lagu raya. Masuk separuh ramadan emak dan kakak pula sibuk membuat kueh, buat baju baru sejak dari pagi sehingga larut malam. Inilah gambaran adat amalan sepanjang bulan puasa dalam keluarga dan masyarakat kita dahulu kala.
Persoalannya dapatkah kita menghayati dan merasa nikmat taqwa dengan tradisi berpuasa sedemikian rupa? Sebagaimana firman Allah;” La’allakum tattaqunn”: semoga kamu bertaqwa?
Atau apakah mungkin adat-adat tadi itu dapat diubah menjadi ‘ibadat’ dengan cara yang lebih afdhal dan baik lagi. InsyaAllah dengan cara itu akan
mengangkat kekuatan ketaqwaan umat Islam setelah berpuasa?
Supaya ‘adat puasa’ berubah menjadi ‘ibadat puasa’ maka pemahaman berpuasa yang silap perlu diperbetul kembali. Agar:
1. Yang adatnya, puasa hanya baru bermula, tetapi perayaan hari raya yang di warwarkan. Kesannya suasana Ramadan ditenggelam tidak menjadi matlamat utama untuk menghayati amaliyah yang disediakan Allah swt. Oleh kerana itu marilah kita ubah adat ini menjadi ibadat dengan mewujudkan suasana beribadah, taqarrub dan berlumba lumba merebut tawaran dari Allah dengan membanyakkan membaca dan tadarrus Al Quran sekaligus memahami erti yang terkandung dalamnya, bersedekah, bertarawih dan rajin melaksanakan sunat nawafil.
2. Yang adatnya , bila berpuasa, perut kita kosong, puasa membuat kita lapar, bila diusik, marah mudah naik ke muka. Bila di kata, di nesta, hati mendidih dan tangan rasa hendak melayang. Marilah kita tukarkan adat ini dengan menyabarkan diri, redakan rasa marah dengan berkata kepada diri :” Sesungguhnya aku berpuasa, sesunguhnya aku berpuasa”, apabila ada orang cuba menjolok rasa. Pupuklah rasa ukhuwah walaupun pada mulanya dengan rasa terpaksa. Jadikanlah bulan Ramadan sebagai bulan rekonsiliasi dan bulan keamanan dan mahabbah kasih sayang. Buang yang keruh ambil yang jernih.
3. Yang adatnya, siang hari, apabila berpuasa, badan rasa letih, tidak bermaya terutama menjelang tengahari dan petang, mata pun mengantuk dan terus tidur sepanjang hari atau jiwa merasa lesu. Untuk atasi masalah ini, ramai memilih untuk melepak di TV. Marilah kita tukarkan adat ini dengan bertadarrus Al Quran, membaca, mengkaji dan menghayati Sirah nabawiah, meningkatkan ilmu dengan
mengikuti kuliah agama dan membina kemahiran diri. Gunakanlah masa yang terluang untuk muhasabah prestasi diri dengan Allah swt.
4. Yang adatnya kita mengutamakan puasa fizikal (tidak makan minum) di siang hari, tetapi apabila tiba waktu berbuka, juadah dan hidangan sepenuh meja. Kita makan semahu mahunya menjadikannya pesta makan yang melimpah ruah. Badan menjadi letih dan lesu kerana penat menyediakan makanan dan kenyang selepas makan. Marilah kita tukarkan adat ini kepada ibadah dan ‘tarbiah ruhiyah’ dengan melatih jiwa dan mendidik nafsu (makan dan syahwat batiniah). Makanlah berpada- pada dan simpanlah tenaga untuk beribadah tarawih dan nawafil di malam hari.
5. Yang adatnya, dalam bulan puasa kita tidak rasa perubahan ketara dalam kelakuan harian, dosa dosa kecil kita buat tanpa disedari kerana terbiasa. Marilah kita tukarkan adat kebiasaan melakukan dosa kecil dengan menyedarkan dan menyemak kembali diri kita dan tinggalkanlah kelakuan buruk itu untuk mendapat pahala dan keredaan Allah.
6. Yang adatnya semasa awal ramadhan surau dan masjid penuh dengan orang tua dan muda. Sayangnya semakin hari jamaahnya semakin kurang. Orang tua sahaja yang tetap setia. Marilah kita tukarkan adat ini kepada ibadah dengan memastikan setiap kita tua dan muda mengimarahkan surau dan masjid untuk menunaikan solah tarawih tanpa gagal sehingga ramadan berakhir.
7. Yang adatnya bermula pertengahan bulan ramadhan sehingga keakhirnya, ramai sibuk membuat persiapan Hari Raya , membeli belah, membuat kueh raya pelbagai warna dan rasa, bunyi mercun berdentum, percikan bunga api pancawarna menyinari laman rumah hingga mengalahkan rumah Tionghua. Surau dan masjid menjadi lesu. Marilah kita tukarkan adat ini dengan menyibukkan diri , melipat gandakan ibadah di sepuluh hari terakhir Ramadan untuk merebut ‘Malam Lailatul Qadar’, malam yang lebih baik dari seribu bulan, Seribu bulan? Berapa tahun kah itu?.Sampaikah umur kita sehingga mencecah 83 tahun? Rebutlah ganjaran ini!!
8. Yang adatnya kita teramatlah gembira apabila menjelang raya, maklumlah hendak ‘merdeka’ dari bermacam macam larangan yang ‘menyiksakan’ jiwa, merancang pesta hiburan yang hebat, halal dan haram di baur demi sambut raya, roh ramadhan lenyap sekelip mata. Marilah kita tukarkan adat ini dengan menyisip dan menitip rasa kesedihan, kepiluan kerana perpisahan dengan bulan rahmat dan maghfirah. Teguhkan doa dan pengharapan agar tahun depan berjumpa lagi denganya. Maka Syawal disambut dengan rasa penuh kesyukuran kerana menang trofi Ramadan.
9. Syukur kerana ‘berjaya’ mengekang nafsu dan shawat dan kembalilah ke bulan syawal dengan fitrah insaniah yang suci dan bersih. Bertekad mengekal kesucian ini dengan menjaga batas halal dan haram dalam menempuhi kehidupan di hari-hari yang mendatang. Selamat menyambut Ramadan dan sama sama merebut rahmat dan maghfirahnya!
Karya Sulung BroHamzah | Monolog Dari Hati
10 years ago
No comments:
Post a Comment